Friday, 5 May 2017

Berita yang sangat dinanti-nantikan



Ribut yang menghempas bumi Kota Sarang Semut di Kedah tempoh hari dipercayai sebagai takdir Allah yang datang mengiringi keputusan yang dibuat di dalam Muktamar Tahunan PAS kali-63 yang berlangsung sepanjang 29 April 2017 hingga 1 Mei 2017 yang lepas.
Ianya ditegaskan lagi oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai takdir Allah dan bukan bala bencana seperti yang didakwa sesetengah pencemburu PAS. Ia sekadar hujan lebat biasa bersekali ribut yang menumbangkan hanya beberapa buah khemah niaga di Tapak Expo dan mengutip seramai 17 mangsa.
Ia bukan bencana sebagai balasan dari Tuhan. Sudah tentu bukan. Ulamak dan pimpinan PAS tidak ada salah dan silap di mana-mana. Mustahil ribut yang datang tiba-tiba itu adalah signal untuk mereka.
Tetapi, yang tidak kita ketahui dengan takdir ribut ini adalah, ianya satu petanda besar untuk sebuah lagi keputusan penting dalam strategi perjuangan politik PAS. Itu sahaja. Bukan bala, bukan bencana.
PKR hari ini telah menerima nasib yang sama seperti DAP. Strategi kerjasama politik yang dipanggil sebagai tahaluf siyasi antara PAS dan PKR telah terputus melalui usul perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat yang juga telah disokong sebulat tekad dan kemudiannya diterima tanpa bahas oleh para perwakilan.
Ia saling tak tumpah dengan apa yang diperlakukan ke atas DAP dalam muktamar PAS kali-61 di Kuala Selangor tahun 2015 dulu. Untuk rekod, kedua-dua usul memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR di dalam muktamar ke-61 dan ke-63 itu, masing-masing dibawa oleh Dewan Ulama PAS Pusat.
Oleh kerana keputusan muktamar lebih tinggi daripada Majlis Syura, keputusan memutuskan hubungan dengan PKR ini hanya menunggu masa sahaja untuk dipateri. Putus tetap putus.
Langkah lebih mudah
Namun, perceraian antara kedua-dua parti pembangkang paling berpengaruh ini wajar diterima dengan senang hati oleh Pakatan Harapan sebagai sesuatu yang akan mempermudahkan langkah kita seterusnya.
Apa yang menjadi dakwaan ramai orang selama ini akan kewujudan sebuah ‘kerajaan gabungan’ atau popular sebagai UG (Unity Government) di antara PAS dan UMNO, sebenarnya telah mula menampakkan kebenarannya.
Ia mungkin bukanlah sebuah kerjasama politik di peringkat parti dengan parti. Tetapi ianya merupakan sebuah kerjasama atau perjanjian persefahaman yang boleh menyelamatkan dan memudahkan kedudukan antara satu sama lain.
Yang pasti apapun jenamanya, namun apabila tujuannya hanya untuk mengekalkan PM Najib Razak dan gerombolannya di Putrajaya, ia wajib ditolak.
Maka, serangan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) hari ini secara langsung akan menjadi serangan satu peluru untuk dua sasaran. Lebih jimat dan lebih berkesan. Lalu benarlah seperti yang pernah saya tulis di ruangan ini dulu; sudah semakin jelas, bukan sahaja UMNO-BN, malah PAS kini sudah sepatutnya ditewaskan juga.
Andaikata PAS masih berdegil mahu kekal di dalam kerajaan Selangor misalnya, tahulah kita PAS juga bertuhankan kuasa dan jangan kita tersilap congak mendakwa hanya UMNO-BN sahaja yang ada nafsu serakah seperti itu. Sifat maksum hanya ada pada Nabi dan bukan pewaris baginda.
Maju terus ke hadapan
Pakatan Harapan ditubuhkan dengan keanggotaan PKR, Amanah dan DAP wajar merebut peluang terbaik ini. Malah dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), strategi memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 untuk menumpaskan UMNO-BN akan menjadi lebih tersusun, lebih fokus dan pastinya akan lebih berkesan. Pakatan Harapan tanpa PAS bagai bahtera yang lebih lancar meluncur laju.
Kini Pakatan Harapan terutamanya PKR akan lebih mudah untuk mengurus sikap politik PAS selepas usul tersebut. Segala persoalan sia-sia yang menyelubungi kedua mereka telah boleh dibuang jauh.
Yang tinggal sekarang hanyalah bagaimana Pakatan Harapan untuk maju terus ke hadapan merencana serta memberi penerangan supaya maklumat sampai ke semua segmen pegundi.
Pakatan Harapan sudah boleh menumpukan segala kudrat untuk memperkasa idea-idea yang boleh diterjemah sebagai manifesto pilihan raya dan juga memperkukuh kesatuan sesama parti komponen tanpa perlu memikirkan bagaimana lagi untuk memujuk PAS.
Ini akan membina jalur garisan yang lebih jelas buat rakyat membuat penilaian. Garisan yang memisahkan kedua-dua pihak, yakni mereka yang mempertahankan UMNO-BN dan di satu pihak yang lain ialah mereka yang menentangnya dengan tujuan memberi kebajikan kepada rakyat dan menyelamatkan negara. Masakan tidak, musuh PAS kin tidak lagi UMNO-BN, tetapi DAP!
Terlalu banyak masa terbuang
Semua ini menjadi semakin mudah dengan keputusan PAS minggu lalu. Tidak ada yang lebih jelas di pihak blok pembangkang sehinggalah hari ini.
Ketiadaan PAS di dalam blok pembangkang yang selama ini cuba diheret sekali sebenarnya telah memudahkan usaha-usaha untuk mengikat kemas dan memasarkan nama Pakatan Harapan kepada rakyat.
Terlalu banyak masa dibuang hanya untuk melayan kerenah mereka yang sejak terkuburnya Pakatan Rakyat tidak langsung memperlihatkan kesungguhan untuk menjatuhkan UMNO-BN.
Keputusan yang dibuat oleh PAS itu sebenarnya telah melegakan banyak pihak. Hari ini, pengundi akan lebih mudah untuk membandingkan; ke arah mana Pakatan Harapan mahu memandu rakyat sebagai sebuah kerajaan yang bersedia untuk menggantikan BN berbanding PAS yang hanya dilihat sekadar mahu menjaga kedudukan parti dan pemimpin-pemimpin yang mereka puja sahaja.
Telah tiba masanya Pakatan Harapan mengorak langkah sederap dan benar-benar memberi harapan kepada rakyat. PAS tidak lagi memberi laba keuntungan melainkan hanya kepada Datuk Seri Najib Razak dan parti pimpinannya.
Ia bukan berita buruk buat PKR selepas PAS membuat keputusan mahu memutuskan tahaluf siyasi di antara mereka dan menutup jendela perbincangan dengan rakan-rakan komponen di dalam Pakatan Harapan.
Ia adalah berita yang sangat dinanti-nantikan oleh kita semua yang sudah bulat tekad untuk menghumban UMNO-BN dalam PRU-14 yang akan datang.
*Nor Miswary bin Ramli adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya
Sumber: Malaysiakini/Mei 03, 2017

No comments:

Post a Comment

Popular Posts