Genap empat tahun sejak gabungan Pakatan Rakyat menjuarai hati dan akal rakyat Malaysia pada pilihan raya umum 5 Mei 2013. Meski sudah arwah, gabungan tersebut masih meniti di bibir orang ramai, malah kadang kala terlepas juga dari lidah pimpinan politik. Masih ada rindu, belum betul-betul ‘move on’.
Masakan tidak. Gabungan arwah Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya mencetuskan pengharapan politik yang tiada sepertinya, malah berjaya meraih majoriti undi popular sebanyak 52%. Kalau Malaysia ada pilihanraya presiden, dan hanya ada dua calon yang bertanding, sudah tentu lah calon Pakatan yang muncul juara. Tapi kita tidak memilih ketua kerajaan. Kita hanya pilih wakil rakyat ke Parlimen.
Tapi tak apa. Tak boleh ‘move on’ itu bagus, kerana kerja kita masih belum selesai; dan harapan kita sebenarnya masih belum berkecai.
“Rebellions are built on hope,” kata watak Jyn Erso dalam filem Rogue One: A Star Wars Story. Harapan adalah tiang seri perlawanan. Belum ada lagi mana-mana ‘rebellion’ dijayakan dengan rasa putus asa, mengalah dan berserah kepada takdir.
Tetapi benarkah masih ada harapan?
Ramai penganalisa politik kedai kopi menjangkakan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan menang bergaya pada PRU ke-14 yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, berbekalkan modal kesepakatan Melayu-Islam antara UMNO dan PAS.
Barangkali juga benar. Modal agama dan perkauman memang kombinasi ampuh untuk kekal berkuasa. Apatah lagi ketika sudah betul-betul berada di ambang luput, setelah hampir 60 tahun Merdeka.
Para pemodal politik tahu benar tentang keampuhan kombinasi ini, dan tidak akan teragak-agak untuk menggunakannya demi memastikan gerombolan mereka kekal di puncak rantaian makanan ekonomi Malaysia, posisi paling sedap untuk mengaut dan menjarah harta kekayaan negara tanpa peduli kesan dan akibat.
Politik kaum dan agama adalah cukup ampuh untuk mematikan isu sebenar pergulatan kita selama bertahun-tahun lalu untuk mengambil alih kursi kerajaan di Putrajaya.
Isu sebenar dalam konteks ini bukanlah soal pelaksanaan syariah atau pengekalan kuasa orang Melayu. Masalah sebenar umat Malaysia berpusat kepada perut, poket dan polisi yang menekan dan merosakkan fabrik masyarakat.
Tidak sedikit dari kalangan kita yang meski sedar ekonomi harian menjadi mangsa dasar-dasar kerajaan yang mencekik dan membelenggu; tetapi kerana lemah dengan pujukan sentimen agama dan kaum, kita tewas dan meletakkan kepedulian kepada isu-isu kecil, ketimbang perkara-perkara yang lebih penting seperti soal harga barang meningkat tinggi angkara cukai GST.
Ini kerana kita umat Malaysia, lebih cenderung mengikut kata hati berbanding akal. Apatah lagi apabila tiba musim pilihanraya dan habis semua kempen mensasarkan perasaan dan mengenepikan pemikiran.
Isu 1MDB misalnya, tidak meraih minat dan kepedulian yang sepatutnya kerana ia terlalu rumit dan sukar difahami akal orang biasa-biasa macam kita. Kerana itu kita pun buat acuh tak acuh dan terus kena tipu dengan para penyangak pintar. Hanya kerana kita malas mahu menggunakan akal, kerana lebih mudah mengikut hati.
Hati rakyat Malaysia cepat memaafkan dan tidak kuat melawan. Kerana itu selang lima tahun sekali calon-calon tak larat lari dan buat kerja seakan nak mati pun boleh datang bersalam-salaman dengan membawa peti sejuk, televisyen, kain batik, beras, garam dan gula untuk memujuk hati pengundi; dan pengundi pun lembik tengkuk seperti kertas tisu jatuh ke air.
Lihat sahaja bagaimana semalam kita disajikan dengan gambar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Gambar tersebut hari ini dijaja di muka depan Utusan Malaysia dan Sinar Harian.
Gambar ini disaratkan dengan sentimen penyatuan UMNO-PAS, perpaduan Melayu-Islam dan segala yang sama waktu dengannya. Dan kita pun pakat menghela nafas lega kerana Melayu-Islam sudah bersatu ‘melangkaui kepentingan politik’ setelah sekian lama berpecah. Demikianlah bagaimana kita ditipu hati dan perasaan.
Sedangkan kalau akal yang membuat pertimbangan, bukankah lebih banyak persoalan boleh ditimbulkan tentang kemesraan UMNO-PAS ini, terutamanya dalam keadaan UMNO sudah setengah nyawa.
Harapan masih ada selagi kita memilih untuk mendahulukan akal dan tidak menurut hati. Setelah empat tahun berlalu, Malaysia seharusnya lebih bijak menilai dan menyedari bahawa yang kita perjuangkan bukan nilai-nilai atau agenda peribadi. Yang kita lawan sebenarnya ialah pentadbiran sebuah parti yang sudah berterusan selama 60 tahun, dan mungkin sahaja kekal untuk 60 tahun lagi.
Apa yang fundamental ialah melawan dengan penuh harap, dan tidak mengalah dengan penuh rasa putus asa.
“Tapi logo pun tak boleh setuju, macam mana nak perintah negara?”
Eh saudara. Kalau penyangak masuk rumah, acu pisau ke leher anak awak; awak nak tunggu ada pistol baru nak lawan? Bangku plastik pun bangku lah; asalkan boleh hayun ke kepala penyangak dengan ‘harapan’ penyangak tu pengsan. Kan?
Sumber: Roketkini.com/Mei 05, 2017.
No comments:
Post a Comment