Oleh Julia Yeow
Dr Mahathir Mohamad menerusi video itu bercakap mengenai kesetiaan pengundi di Pekan terhadap Razak, tetapi berkata Najib jauh berbeza daripada bapanya. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Mei, 2017.
DR Mahathir Mohamad membawa perjuangannya menentang Najib Razak ke Pekan, menggesa pengundi di kerusi Parlimen di Pahang itu untuk “menyelamatkan negara ini” dengan tidak mengundi perdana menteri itu.
Dalam video berdurasi empat minit itu, memberitahu pengundi di Pekan, kawasan di mana Najib menjadi wakil rakyatnya selama 40 tahun, memainkan peranan “sangat penting” dalam PRU14.
“Pekan satu kawasan yang amat penting pada pilihan raya akan datang. Sebabnya kerana wakil dari Pekan, dengan tidak disangka-sangka sudah menjadi seorang yang melakukan perbuatan keji yang merosakkan negara kita,” kata perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
Pemimpin berusia 91 tahun itu bersara daripada jawatan perdana menteri pada 2003 tetapi kembali aktif tahun lalu sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha untuk melucutkan Najib daripada kuasa.
Najib menang kawasan Parlimen Pekan pada setiap PRU sejak 1976, selepas kerusi itu kosong apabila bapanya yang juga bekas perdana menteri Razak Hussein meninggal dunia.
Dalam video itu, Dr Mahathir bercakap mengenai kesetiaan pengundi di Pekan terhadap Razak, tetapi berkata Najib jauh berbeza daripada bapanya.
“Najib dituduh mencuri wang dan sekarang dia membawa dasar yang akan memudaratkan negara kita. Saya tahu dia anak Tun Razak dan Tun Razak memang menjadi ikon saya.
“Saya pernah disokong oleh Tun Razak sehingga dapat menjadi perdana menteri. Dengan itu juga sokong Najib supaya dia juga dapat menjadi perdana menteri, tetapi setelah dia menjadi perdana menteri tingkah lakunya dan perbuatannya amat berbeza daripada bapanya, daripada Tun Razak.
“Dia membuat benda yang amat buruk sekali seperti menghilangkan berbilion ringgit duit Malayisa,” katanya.
Dr Mahathir juga mengulangi apa yang disampaikan di ceramah di seluruh negara yang beliau sudah cuba menasihati Najib, tetapi tidak diendahkan.
“Saya amat sedih melihat perbuatannya. Saya sudah cuba menasihatinya tetapi dia tidak mendengar nasihat bahkan dia meneruskan caranya.
“Kononnya dengan duit dia beli segala-galanya termasuk sokongan kepada dirinya pada pilihan raya akan datang.
“Sebab itu saya berpendapat rakyat dan pengundi di Pekan yang boleh untuk menyingkirkan Najib.
Dr Mahathir mengakhiri videonya dengan sekali lagi meminta pengundi jangan mengundi Najib, tetapi sebaliknya menyokong “parti yang bertentangan dengan Najib”.
Beliau menjelajah ke seluruh negara, bertemu pengundi di kampung dan bandar, dengan mesej yang sama: pentadbiran Najib perlu disingkirkan.
Tetapi cara ini agak jarang berlaku apabila beliau bercakap dengan pengundi menerusi video.
Video itu dirakamkan menggunakan telefon bimbit dan dikongsi dengan The Malaysian Insight oleh ahli Bersatu Abdul Rahman Mohamad Noor.
Sumber: The Malaysian Insight/May 6, 2017.
No comments:
Post a Comment