Friday, 19 May 2017

Hannah Yeoh, di Malaysia jadi Melayu Muslim pun susah


Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah apatah lagi jika bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan, kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Malah ahli parlimen Parit Buntar itu menambah, berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.
Dr Mujahid mengulas isu membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor Hannah Yeoh yang secara tiba-tiba dijadikan sasaran sesetengah pihak ekoran dituduh cuba menyebarkan ajaran Kristian menerusi buku kisah perjalanan hidup beliau "Becoming Hannah".
"Kalau buku "Becoming Hannah" dikatakan menyebar agama Kristian dan cubaan memurtadkan orang Islam, saya orang Melayu dan Muslim jujurnya dalam keadaan dilema.
"Ia membawa mesej membimbangkan kerana bangsa saya dan agama saya dipertontonkan sebagai lemah hanya dengan satu karya dari penulis bernama Hannah Yeoh.
"Saya kata sukar menjadi Melayu dan Islam di Malaysia kerana saya terperangkap antara bersikap objektif dan emosional. Terperangkap dalam dilema inilah menyebabkan rakyat kita kurang peduli kepada isu negara yang lebih besar," katanya.
Menurut Dr Mujahid, keadaan ini mengakibatkan setiap kaum dan agama di negara ini berada di balik tembok kubu masing-masing dan mereka yang cuba keluar dari belenggu kubu masing-masing, khususnya kubu Melayu, dikategorikan sebagai 'musuh' dengan label 'liberal', 'murtad' dan 'munafik'.
Beliau menambah, semua insiden negatif di Malaysia dikaitkan dengan agama atau bangsa, walhal secara objektifnya insiden itu datang dari sikap individu dan bukan mewakili bangsa atau agamanya.
"Saya lebih terperangkap dalam 'dunia tembok' ini apabila kebencian kaum dan agama diinstitusikan melalui sikap parti politik tertentu dan pihak kerajaan sendiri seolah mendapat 'barakah' restu nuansa-nuansa keji ini," jelas beliau.
Dr Mujahid memberi contoh isu perundangan RUU 355 yang menimbulkan kebencian terancang sesama umat Islam dan umat beragama lain hanya kerana namanya Islam dan distrukturkan begitu rupa dengan kerjasama pemerintah.
"Logik dunia hari ini mudah, ia berputar di paksi bekalan dan permintaan. Semua pihak yang berkepentingan ambil kesempatan membekalkan permintaan ini kerana hasilnya lumayan.
"Para penunggang agama, para penyebar kebencian dan parti politik yang terdesak adalah benifisarinya. Sekali lagi saya terperangkap.
"Tembok kubu dikawal oleh bomoh-bomoh handal dan pendeta-pendeta yang kerjanya 'menjampi serapah' mangsa 'sihir' dan para pendeta yang siang malam berkhutbah dan menghukum mereka yang mahukan bebas dari kubu-kubu ini. Terimakasih kepada teknologi media sosial," ujarnya sinis.
Sehubungan itu beliau berkata, Malaysia memerlukan kubu dan tembok kukuh kemanusiaan dan kebebasan yang tidak mengenal agama dan bangsa.
"Kubu ini menyelamatkan juga kaum lain dan agama lain kerana kita semua adalah manusia.
"Hanya satu sahaja matlamat mereka iaitu mengawal musuh durjana yang mengancam kemanusiaan daripada para penunggang kaum dan agama. Awas musuh-musuh ini yang berselindung di sebalik wajah agama dan bangsa," tambah beliau.
Dr Mujahid turut memetik mafhum Alquran: "Tidak Aku utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam."
Sumber: Malaysia Dateline/May 19, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts