Tuesday, 23 May 2017

Kamarul Zaman dinasihat baca Perlembagaan DAP sebelum buat tuduhan

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Belum pun reda isu fitnah Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, pensyarah itu tampil pula dengan tuduhan mengarut bahawa dasar perjuangan DAP kononnya tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Susulan dakwaannya itu, Kamarul memulakan inisiatif menyediakan memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP dengan dakwaan kononnya melanggar peruntukan Akta Pertubuhan.
Menempelak tuduhan berniat jahat itu, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh menegaskan bahawa DAP adalah parti yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia dibuktikan dengan perjuangan parti itu selama ini.
Malah, katanya, seseorang tidak memerlukan kelulusan akademik yang tinggi untuk memahami bahawa perjuangan DAP selama 51 tahun dalam arena politik negara demi membentuk Malaysia yang lebih baik adalah mengikut landas undang-undang tertinggi negara itu.
“Kamarul Zaman hanya perlu mendapatkan senaskah Perlembagaan DAP dan membacanya dari kulit ke kulit jika berasa keberatan untuk menggali arkib mengenai tokoh sejarah dan perjuangan DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman sebelum ini mendakwa kononnya Hannah cuba memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang bukan Kristian supaya menjadi penganut atau cenderong kepada ajaran Kristian berdasarkan petikan daripada Bible dalam buku autobiografinya, “Becoming Hannah”.
Ekoran tuduhan berniat jahat itu, Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP membuat laporan polis terhadap Kamarul kerana didakwa sengaja mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama.
Mengulas lanjut, Kah Woh yang juga Adun Canning berkata, Kamarul Zaman harus berhenti merendahkan martabat dirinya dengan mengikut rentak propaganda UMNO-Barisan Nasional (BN) yang seringkali menuduh DAP sebagai kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.
“Demokrasi yang sebenar membenarkan semua parti politik untuk bersaing antara satu sama lain berdasarkan merit, tetapi apa yang menyedihkan walaupun tidak memeranjatkan, Kamarul Zaman tidak menghiraukan perkara ini dan mempertaruhkan pembentukan negara semata-mata demi kepentingan agendanya,” katanya. 
Sumber: Roketkini.com/May 22, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts