Friday, 19 May 2017

Perlu tunggu sampai 2050 baru orang seperti Ku Nan pupus?

JOHOR BAHRU, 19 MEI: Khairy Jamaluddin perlu menegur rakan sejawatnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya berhenti meletakkan cara pemakaian wanita sebagai punca berlakunya jenayah seksual.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu pada Hari Wanita Sedunia tahun ini yang berharap pada 2050 “tidak ada lagi yang begitu bodoh menganggap jenayah dan gangguan seksual adalah salah pemakaian wanita.”
“Tetapi kenapa perlu tunggu sehingga 2050 untuk orang seperti Tengku Adnan akhirnya pupus?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
“Tidak bolehkah Khairy didik rakan sejawatnya itu untuk berhenti meletakkan salah kepada mangsa (jenayah seksual) atau mengandaikan merekalah yang bertanggungjawab terhadap kesalahan itu?”
Semasa dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin Tengku Adnan atau Ku Nan mencadangkan supaya seorang anggota Puteri UMNO Wilayah Persekutuan supaya berpakaian ‘comot’ bagi mengelakkan dirinya daripada diganggu.
“Awak ini cantik sangat, lain kali pakai comot-comot sikit,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu sebagai menjawab soalan anggota akar umbi parti Melayu itu yang bimbang dengan jenayah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, komen bodoh dan tidak membantu seperti Ku Nan itu menyebabkan kebanyakan wanita yang menjadi mangsa jenayah seksual berasa malu untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Orang macam Ku Nan adalah sebab mengapa mangsa yang dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki di pusat perjudian di Bandar Kinrara, Puchong tempoh hari tidak membuat laporan polis seawal yang mungkin.
“Jenayah berkenaan, mengikut rekod masa pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berlaku pada Khamis belah malam, sekitar jam 9.45 malam, 11 Mei.
“Hanya selepas digesa polis untuk tampil barulah mangsa itu tampil dan membuat laporan pada 16 Mei, iaitu 5 hari selepas hari kejadian,” ujarnya.
Pemimpin, khususnya kaum lelaki, katanya, harus membantu kaum wanita menghapuskan mitos bahawa cara pemakaian wanita mengundang gangguan seksual dan rogol, namun komen Ku Nan tersebut benar-benar telah menggagalkan usaha tersebut. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Popular Posts