Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengetuai Pakatan Harapan (PH) bertemu suruhanjaya itu bagi membincangkan isu berkaitan pilihan raya seperti daftar pemilih.
Abdul Rashid Abdul Rahman yang kini naib pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sebagai badan penggendali pilihan raya, ia tidak seharusnya menolak permintaan pertemuan itu.
“Kalau nak berjumpa dengan SPR pun tak boleh, tak payah demokrasilah.
“Proses dalam pilihan raya ini salah satu perkara penting ialah kita berdialog, berjumpa dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab. SPR merupakan badan tertinggi yang menggendalikan pilihan raya,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Rashid yang pernah memimpin SPR dari 2000 hingga 2008 berkata, semua parti politik adalah antara “klien” utama kepada badan penggendali pilihan raya dan permohonan untuk pertemuan perlulah dilayan.
“Kalau rata-rata rakyat nak ubah kerajaan, biarkanlah, SPR tak perlu campur tangan, malulah sikit kalau nak campur tangan.
“Anda dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan harapan keyakinan rakyat dapat dipertahankan.
“Jangan main-main, ini ada dalam Perlembagaan. Kalau kita pijak itu, tak payahlah adakan lagi pilihan raya, kita buat benda lainlah,” katanya.
Rashid berkata, sekiranya nama seseorang pengundi dibuang daripada daftar pemilih, ia adalah satu pelanggaran kepada hak asasi manusia.
“Kalau ini berlaku, perkara ini boleh dibawa ke muka pengadilan termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana ini merupakan perkara prinsip dalam demokrasi pilihan raya.
“Malaysia ini biar ada rekod baik sikitlah. Ini dunia moden. Dulu masa kita buat pilihan raya pertama pada 1959, orang mungkin tidak faham, tetapi sekarang sudah berubah,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dibacakan pada sidang media itu, PH berkata selepas hampir setahun, SPR yang diketuai Mohd Hashim Abdullah masih lagi tidak memberikan tarikh untuk bertemu mereka.
Menurut PH, jika SPR bersetuju mengadakan pertemuan, di antara isu yang bakal dibangkitkan ialah ketidaktelusan daftar pemilih.
Turut bersama dalam sidang media itu ialah pemimpin PKR Chua Tian Chang, Sivarasa Rasiah, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.
Awal bulan ini, PKR membantah tindakan SPR kerana tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku tahunan kepada parti politik.
PKR berkata, ini suatu tindakan manipulasi pilihan raya oleh SPR untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN). – THI
Sumber: Suara Pakatan Daily/May 17, 2017.
No comments:
Post a Comment