Sunday 14 May 2017

Tuduhan menghapuskan kuota Bumiputera adalah fitnah jijik dan jahat


Pada 11 Mei 2017 telah tular satu poster dengan gambar dan nama saya berserta dengan kenyataan berbunyi “Kerajaan negeri patut hapuskan diskaun 15% kuota rumah untuk bumiputera” yang dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook bernama Bee Ant Blues dan dua kenyataan oleh pengguna Facebook bernama Luis Castana berbunyi “Seronok je YB Chua Wee Beng For Bentayan nak hapus keistimewaan orang Melayu…Ni Party belum belum berkuasa taualau dah berkuasa nanti…korang fikir la sendiri…” dan “YB Chua Wee Beng For Bentayan Democratic Action Party mintak kerajaan hapuskan KUOTA BUMIPUTERA di Johor…Tahniah kepada yang sokong…”.
Kedua-dua tuduhan ini dan juga ucapan perbahasan oleh ADUN Tiram sebenarnya tidak mengikut konteks sebenar ucapan perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Mulia Sultan Johor yang dibuat oleh saya pada 9 Mei 2017 di Dewan Negeri Johor. Dalam ucapan tersebut, saya tidak pernah sesekali menyebut apa-apa perkataan atau mempunyai apa-apa niat untuk menghapuskan kuota Bumiputera.
Intipati ucapan saya adalah mengutarakan beberapa kepincangan atau “loophole” dalam polisi agihan kuota hartanah Bumiputera sehingga telah menyebabkan berlakuya potensi manipulasi dan penyelewengan seperti yang telah berlaku sebelum ini. (Rujuk Transkrip Ucapan Perbahasan Yang Dilampirkan Bersama)
Isu mengenai kuota Bumiputera ini bukanlah satu isu baharu malah kepincangan pengurusannya pernah mendapat perhatian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014. Dalam laporan tersebut mendedahkan bahawa dasar pemilikan hartanah 40% di kalangan Bumiputera tidak tercapai kerana hanya 12% atau 1,012 orang pembeli membeli unit kuota Bumiputera daripada keseluruhan 8,535 unit perumahan yang dibina. Pandangan Audit juga menyebutkan dasar yang ditetapkan tidak tercapai kerana jumlah pelepasan unit kuota Bumiputera adalah tinggi.
Laporan Ketua Audit Negara juga menyebutkan mengenai pelepasan unit kuota Bumiputera tidak dibuat mengikut syarat yang ditetapkan dan bayaran sumbangan pelepasan kuota Bumiputera sebanyak 7.5% tidak dipatuhi oleh Kerajaan Negeri. Pandangan LKAN adalah syarat pelepasan yang telah ditetapkan dan kadar bayaran sumbangan hendaklah dipatuhi sebaik mungkin walaupun pemaju terlibat membantu Kerajaan dalam pembinaan rumah mampu milik.
Dalam ucapan perbahasan, saya menyebutkan bahawa polisi ini tidak realistik dari segi ekonomi kerana ia berpotensi untuk mewujudkan keadaan Market Failure kerana tidak memenuhi prinsip penawaran dan permintaan, dan kemudiannya bertukar menjadi Black Market kerana syarat penukaran status di mana sesetengah orang yang rapat dengan penguasa dapat menukar status. Ucapan saya ini selari dengan dapatan siasatan Jabatan Audit Negara pada tahun 2014.
Ingin saya tegaskan bahawa tiada mana-mana bahagian dalam ucapan perbahasan saya yang meminta Kerajaan Negeri Johor untuk menghapuskan kuota Bumiputera.
Oleh yang demikian, hasrat ucapan saya adalah supaya Kerajaan Negeri meletakkan sasaran kuota Bumiputera mengikut pertimbangan yang sewajarnya dan realistik mengikut pertimbangan ekonomi. Kerajaan seharusnya melakukan kajian mendalam terhadap kemampuan membeli sebelum merangka sesuatu polisi sebegini.
Dengan pengenalan kuota yang terlalu tinggi, tetapi dalam masa yang sama tidak mempunyai pasaran pembeli, ia akan membolehkan berlakunya pelbagai masalah lain seperti manipulasi oleh kumpulan rent-seeker yang sentiasa mahu mencari keuntungan peribadi seperti yang telah terjadi dalam kes penyelewengan kuota Bumiputera Johor baru-baru ini.
Justeru itu, saya telah membuat satu laporan polis terhadap pengguna Facebook tersebut kerana :
  1. Penularan tersebut adalah merupakan satu cubaan menghasut dan membangkitkan sentimen perkauman dengan memutarbelitkan ucapan perbahasan menjunjung kasih titah DYMM Sultan Johor oleh saya pada 9 Mei 2017 di Dewan Negeri Johor.
  2. Tindakan tersebut berniat jahat dan merosakkan reputasi saya sebagai seorang Ahli Dewan Negeri Johor sedangkan saya tidak pernah menyebutkan atau mendesak Kerajaan Negeri Johor untuk menghapuskan kuota Bumiputera.
Chua Wee Beng
ADUN BENTAYAN

Kenyataan media oleh Chua Wee Beng di Johor Bahru pada hari Jumaat, 12 Mei 2017

No comments:

Post a Comment

Popular Posts