Sunday 7 May 2017

Ganti Iskandar mudahkan perpisahan di Selangor, kata Khalid Samad

Oleh Zulkifli Sulong
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata pesuruhjaya PAS Selangor yang baru dilantik dilihat mempunyai kemampuan memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan secara muktamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2017.
TINDAKAN menggantikan Iskandar Samad sebagai pesuruhjaya PAS Selangor didakwa sebagai langkah bersiap sedia untuk berpisah dengan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pesuruhjaya PAS Selangor yang baharu dilantik, Sallehen Mukhyi boleh mengarahkan PAS negeri itu memutuskan hubungan dengan PH secara muktamad.
"Iskandar sebagai exco mungkin dikhuatiri akan teragak-agak," kata pengarah komunikasi Amanah itu kepada The Malaysian Insight.
"Kecelaruan ini perlu ditangani secara tegas oleh menteri besar," kata Khalid.
Iskandar mengekalkan jawatan PAS naib presiden hanya seminggu lalu, tetapi diturunkan sebagai ketua negeri beberapa hari kemudian.
Turut dikeluarkan daripada jawatankuasa kerja PAS adalah bekas pengarah pilihan raya Mustafa Ali.
Iskandar dan Mustafa dikatakan memihak kerjasama dengan parti pembangkang lain dan ia tidak diterima baik pemimpin PAS.
Pada Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar minggu lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, namun pelaksanaannya akan diuruskan Majlis Syura Ulama.
Ekoran itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara dengannya Utusan Malaysia tidak menolak kemungkinan berlakunya perubahan kerajaan di Selangor.
Menurut Khalid, perlantikan Sallehen menggantikan Iskandar boleh dibaca sebagai tindakan Hadi untuk mengenepikan mereka yang ada hubungan dengan PKR, DAP dan Amanah.
"Iskandar sebagai exco kerajaan negeri terpaksa menjalinkan hubungan kerja dengan pimpinan semua parti ini.
"Mungkin ini merupakan sebab mengapa keyakinan Hadi terhadap Iskandar tidak sekukuh Sallehen," katanya.
Katanya, beliau tidak melihat sebarang kesalahan pada Iskandar dan ahli exco PAS lain duduk semeja dan bekerjasama dengan Menteri Besar Mohamad Azmin Ali daripada PKR.
Pengumuman penggantian Iskandar dan Mustafa dibuat Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan selepas mesyuarat jawatankuasa pusat semalam.
"Sallehen sebagai Adun biasa tidak semestinya mempunyai sikap terbuka seperti itu," katanya.
Mustafa dilihat sebagai seorang daripada pemimpin kanan PAS yang sentiasa berhubung dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad dan Azmin.
PAS turut menggantikan ulama Husin Awang untuk memimpin Terengganu dan bukannya Satiful Bahri Mamat. 
Sumber: The Malaysian Insight/7 Mei, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts