Sunday, 14 May 2017

Selepas PAS menutup pintunya

Oleh Lim Hong Siang


Mungkinkah Liow Tiong Lai kekal menyandang jawatan menteri pengangkutan seandainya MCA keluar dari BN dan memutuskan hubungannya dengan Umno? Jawapannya pasti tidak.
Andainya senario ini dibolehkan, sudah tentu hubungan antara MCA dengan Umno dicincang hingga lumat sejak awal lagi.
Ia bukan sekadar soal maruah, tetapi lebih kepada peraturan dalam sistem politik negara. Apabila PAS memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP, ia bermakna PAS tidak lagi sehaluan dengan PKR dan DAP.
Persoalannya, bagaimana PAS yang tidak berkongsi muafakat dengan PKR dan DAP, boleh berada dalam sesebuah kerajaan negeri yang dianggotai PKR dan DAP?
Hatta Datuk Seri Najib Razak tidak melantik Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai menteri dalam kabinet, sungguhpun PAS kini berkongsi lebih muafakat bersama Umno daripada DAP, dan barangkali juga PKR.
Bahkan Umno mungkin lebih memerlukan PAS daripada MCA dan MIC buat masa ini. Jadi, mengapa pemimpin PAS tidak dilantik ke dalam kabinet BN? Ini kerana tiada hubungan rasmi yang terjalin antara PAS dengan Umno-BN.
Keadaan di Selangor
Apakah kerajaan negeri Selangor sedia ada mampu bertahan selepas PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR? Dengan menguasai 29 daripada 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, kerajaan Pakatan Harapan kini bertahan dengan majoriti yang tipis tanpa PAS.
Ia mungkin pertimbangan utama Pakatan Harapan pada saat-saat ini, untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri Selangor. Namun status quo ini boleh mengundang pertikaian dan ketidaktentuan pada masa depan.
Bagaimana jika Selena Gomez berkonsert lagi?
Misalnya, bagaimana jikalau Selena Gomez mengadakan konsertnya untuk kali kedua di Selangor? Apakah pandangan exco PAS harus diambil kira? Pada masa yang sama exco PKR dan DAP juga perlu berdepan dengan penyokongnya.
Apakah adil andainya kerajaan Pakatan Harapan membuat satu keputusan yang mengingkari hasrat penyokongnya, semata-mata untuk menyedapkan hati PAS, yang sudah memutuskan hubungannya dengan PKR dan DAP?
Jadi, jikalau Selena Gomez diberi lampu hijau oleh kerajaan negeri untuk kembali berkonsert, apakah Iskandar Samad akan dipersalahkan PAS? Persoalannya, mengapa PAS tidak mengarahkan ketiga-tiga exconya untuk meletak jawatan, sebaik sahaja tahaluf siyasi diputuskan dengan sebulat suara?
Desakan ini bukan untuk menyindir PAS, tetapi untuk mengelakkan dilema yang bakal dihadapi PAS ketika PRU14. Apakah PAS ingin berkempen untuk menghentam Pakatan Harapan kerana dasar kerajaan negeri, atau memujinya?
Antara pujian dan kutukan
Bagaimana PAS memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Harapan, sedangkan dirinya kekal bersama dalam mesyuarat exco sehingga DUN dibubarkan?
Sebaliknya, bagaimana pula PAS boleh memuji kerajaan negeri Selangor, kerana pengundi akan tertanya-tanya, jikalau begitu baik prestasi negeri Selangor, mengapa PAS putuskan hubungan dengan mereka?
Lain katalah jikalau sesiapa yang bertebal muka untuk mendakwa segala yang baik datang dari PAS, dan segala yang buruk datang dari PKR, DAP dan AMANAH.
Itupun belum lagi jikalau exco PAS melakukan kesilapan pada masa depan. Di Malaysia, prinsip tanggungjawab bersama diamalkan dalam kabinet di peringkat persekutuan, dan majlis mesyuarat kerajaan (exco) di peringkat negeri.
Apakah kerajaan negeri Pakatan Harapan harus memikul tanggungjawab lantaran kenyataan mahupun tindakan exco PAS? Lebih dahsyat, ia mencungkil pertikaian yang kekok untuk kedua-dua pihak.
Jikalau exco PAS melakukan sesuatu yang bercanggah dengan dasar Pakatan Harapan, apakah ia sabotaj daripada PAS, ataupun ia kesilapan yang tidak disengajakan?
Bukankah ia amat kekok apabila rahsia strategi kerajaan negeri dibocorkan pada masa depan, dan sudah tentu exco PAS paling dicurigai meskipun mereka mungkin bukan dalang di sebaliknya?
Saya kurang pasti sama ada persoalan-persoalan di atas dipertimbangkan pemimpin PAS sebelum mengambil keputusan drastik untuk menamatkan hubungan kerjasama dengan PKR.
Itupun sekadar isu perjalanan sesebuah kerajaan negeri, belum memasuki bab kesannya yang lebih mendalam terhadap senario politik dan masyarakat Malaysia.
Kesan pepecahan pembangkang
Pakatan Rakyat ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2008, selepas gelombang kuasa rakyat mencetuskan tsunami politik dalam PRU12. Gandingan PKR, PAS dan DAP menjadikan pakatan pembangkang lebih mantap apabila penyokong masing-masing digabungkan di atas satu wadah.
Jikalau dikaji spektrum dan lanskap politik sebelum 8 Mac 2008, BN berjaya memecahkan parti pembangkang dengan 'dasar pecah dan perintah'.
Di satu hujungnya, PAS ditampilkan sebagai pelampau agama Islam untuk menakut-nakutkan pengundi bukan muslim.
Di satu hujung yang lain pula, DAP dilabel sebagai anti-Melayu/Islam untuk menakut-nakutkan pengundi muslim. BN memposisikan diri di tengah-tengah, merangkum seramai mungkin pengundi dalam arus perdana yang menyokong “kesederhanaan”.
Pembangkang cukup sedar dengan strategi ini dan ianya hanya boleh ditangkis andainya pengundi bukan muslim tidak takut lagi kepada PAS, dan pengundi muslim tidak takut lagi kepada DAP.
Teori ini diuji dan teruji. PR menang tujuh pilihan raya kecil berturut-turut di Semenanjung selepas 8 Mac 2008, sebelum disekat Umno-BN di Bagan Pinang pada Oktober 2009.
PR merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu daripada Umno-BN selepas kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar.
Paling klasik apabila 85 peratus pengundi Cina memberi sokongan kepada calon PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam PRK Bukit Gantang, empat hari selepas Najib mengambil alih tampuk sebagai perdana menteri.
Semangat ini menggugat BN. Perpaduan pembangkang bukan sahaja melonjakkan prestasi pembangkang, tetapi juga mencelarukan langkah percaturan Umno-BN.
Pergelutan dalaman Umno bermula selepas tsunami politik 8 Mac 2008 melanda. Tun Abdullah Ahmad Badawi didesak untuk berundur. Malah apabila ISA digunakan ke atas musuh politik, menteri kabinetnya pula meletak jawatan sebagai tanda protes.
Ringkasnya, pemerintah seolah-olah hilang kawalannya. Penggantinya, Najib Razak melakukan segala yang mampu tetapi tidak kena pada tempatnya, sebagaimana intonasinya ketika berucap.
Ketuanan Melayu-nya tembus diserang Ketuanan Rakyat, 1Malaysia-nya dipertikaikan. Penampilan Najib untuk membawa perubahan tidak diyakini, peranan Timbalannya ketika itu, Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan sokongan tradisi Umno mengundang lebih impak negatif daripada positif.
Sebaliknya, Allahyarham Nik Aziz yang dahulunya dilihat sebagai konservatif dari kaca mata non-muslim, dinilai semula dan diterima sebagai pemimpin yang bersih dari rasuah. Almarhum membela Elizabeth Wong, Datuk Zaid Ibrahim, malah Anwar apabila pemimpin pembangkang ini terjerat dalam pertikaian moral dan agama yang ditimbulkan Umno.
Almarhum juga tampil meleraikan pertikaian agama yang melibatkan Teo Nie Ching dan Nga Kor Ming dari DAP.
Langkah ini penting agar politik kita tidak terbelenggu dengan isu moral peribadi, atau pemahaman agama yang sempit, sebaliknya ia ditumpukan kepada rasuah, salahguna kuasa dan kepincangan sistem politik.
Begitu juga dengan mendiang Karpal Singh. Jikalau dahulu mendiang dilabel sebagai anti-Islam dengan pendirian tegas dalam isu hudud, kini beliau disanjung sebagai pemimpin yang berprinsip oleh penyokong PAS.
Tindakan mendiang Karpal membela imam Hoslan Hussin yang membaling selipar ke arah hakim memperlihatkan satu dimensi bahawa perjuangannya konsisten untuk mempertahankan hak semua orang tanpa mengira kaum dan agama di dalam kerangka sistem perundangan.
Ia menganjurkan satu perspektif bahawa sesungguhnya kita berbeza pandangan dalam bab agama, tetapi politik menuntut kita untuk membina satu sistem yang adil untuk semua.
Parti dan perpaduan masyarakat
Pakatan Rakyat bukan sahaja gandingan parti politik pembangkang, tetapi memberi makna yang lebih besar apabila menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa.
Hakikatnya, perkembangan masyarakat sivil dengan agenda seperti rasuah, kebebasan media dan sebagainya agak terbantut di Malaysia. Kaum dan agama masih slogan yang paling lantang, dan masyarakat secara umumnya masih berkiblatkan parti politik.
Tetapi gandingan Pakatan Rakyat berjaya mematahkan serangan yang bersenjatakan kaum dan agama untuk satu tempoh tertentu. Contoh terbaik apabila kontroversi kalimah Allah dilanjutkan dengan serangan ke atas rumah ibadat.
Pendirian PAS untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim ketika itu, meredakan konflik yang cuba dicetuskan. Api yang dilontarkan ke gereja berjaya dipadamkan. Muslim tidak dimusuhi, non-muslim tidak dikambing-hitamkan apabila masyarakat umum menyedari bahawa ini mainan politik semata-mata.
Paling kemuncak apabila semangat solidariti membara dalam himpunan BERSIH 2 dan BERSIH 3. Kejadian yang terlipat dalam ingatan generasi 709 (9 Julai 2011) ini meyakinkan warga Malaysia bahawa tragedi 13 Mei tidak akan lagi berulang.
Ia merobohkan tembok ketakutan masyarakat Cina khususnya, yang dihantui dengan bayang rusuhan 1998 di Indonesia yang memangsakan kaum Cina akhirnya. Sementara itu, masyarakat Melayu mengubah persepsinya terhadap kaum Cina.
Cina bukan puak yang mementingkan diri sebagaimana imej stereotaipnya, tetapi juga berprihatin dan mencurahkan ketaatannya untuk mempertahankan tanahair ini.
Tinggal nostalgia sahaja
Segala-gala ini tergulung sebagai nostalgia apabila hubungan pembangkang mula dirobekkan. Dari segi politik parti, jikalau dahulu pemimpin Umno terpaksa berdepan dengan serangan musuh luar, dan berwas-was dengan musuh dari dalam; kini pemimpin pembangkang pula ditikam dengan keris di luar daging, dan ditusuk duri dalam daging.
Kalau dahulu PAS tampil membela DAP apabila dituduh anti-Islam, kini PAS lebih hebat menuduh DAP sebagai anti-Islam, daripada Umno.
Situasi yang sama apabila PAS dibela DAP seketika dahulu apabila berdepan dengan serangan MCA, kini DAP tidak kurang hebatnya untuk menyerang PAS, kerana cuba menonjolkan dirinya tidak lagi sehaluan dengan PAS.
Dari dimensi masyarakat pula, kalau dahulu isu kaum dan agama boleh dipatahkan dengan mudah sebagai mainan politik, kini retoriknya berubah. Label “hina Islam” dilontar sewenang-wenangnya, maka umat Islam perlu bersatu untuk mempertahankan martabat agama.
Dengan spontan ia mengundang reaksi bahawa bukan Islam juga perlu bersatu untuk mempertahankan hak minoriti yang semakin terhakis. Kita seolah-olah undur ke belakang, dan dibonsaikan dalam bingkai-bingkai lama.
Malah, perpecahan ini melemahkan semangat rakyat untuk terus melawan. Isunya dialih dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan yang ditentang secara bersama, kepada kaum dan agama yang memecah-belahkan.
Himpunan BERSIH 4 misalnya, suara ratusan ribu manusia ditenggelam secara mudah, hanya dengan aksi Jamal dan geng yang semerah baju dengannya di Jalan Petaling.
Apakah tidak pernah terlintas dalam otak pembangkang kita, jikalau manusia berbaju ungu himpunan RUU355 digabungkan dengan manusia berbaju kuning dalam himpunan BERSIH 5 – apakah Najib masih mampu bertahan sehingga hari ini?
Akuilah, bahawa regim Najib kekal sehingga hari ini sungguhpun terpalit dengan skandal 1MDB – kerana perpecahan di kalangan parti pembangkang.
Apabila pembangkang berpecah dari atas ke bawah, ia gagal memberi tekanan yang berkesan untuk mendesak regim korup. Malah apabila regim ini mengambil tindakan ke atas pembangkang dan aktivis satu persatu, sama ada dengan Akta Hasutan mahupun akta yang lain, kita gagal mematahkan serangan itu.
Semua berasa keseorangan kerana solidariti seketika dahulu, semakin terhakis. Apabila diselubungi rasa bersendirian, rasa pasrah pula mencengkam. Siapa lagi yang berani dan bersemangat untuk berjuang habis-habisan?
Demikianlah kesudahannya apabila pembangkang belajar sejarah dengan mengulangi sejarah. Mereka gagal menyelamatkan Pakatan Rakyat, tetapi beria-ia untuk menyelamatkan Malaysia.
Populariti Lim Kit Siang di kalangan orang Islam kekal rendah, Hadi pula dikartunkan sebagai kera dalam kalangan Cina.
Kita pernah berada di ambang kemenangan, dan kini kita kembali semula ke persimpangan. Masa tidak menunggu. Sama ada kita terjerat dalam perbalahan yang tidak berpenghujung, atau kita bertolak untuk sekurang-kurangnya memulakan perjalanan baru.
Semoga semua pembangkang bertambah matang pada masa depan, sejajar dengan usianya. Jangan hancurkan apa yang terbina, kerana inilah warisan yang anda tinggalkan untuk diperingati generasi seterusnya.

LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?
Sumber: Malaysiakini/May 13, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts