Tuesday 16 May 2017

Bekas hakim sanggah Setiausaha Agung Pas, pelantikan exco di tangan Menteri Besar


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mempunyai hak eksklusif untuk merombak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
“Dengan berbuat demikian beliau boleh menggugurkan exco sedia ada dan melantik anggota baharu,” katanya kepada FMT.
Sri Ram berkata ketua eksekutif, di peringkat persekutuan atau negeri, boleh mencadangkan kepada ketua kerajaan untuk melantik sesiapa sahaja pilihannya.
Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam mengatakan exco partinya akan kekal dalam pentadbiran Azmin selagi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengarahkan mereka meletak jawatan.
Takiyuddin, yang juga seorang peguam, berkata mereka akan mengabaikan sebarang arahan letak jawatan daripada menteri besar kerana exco mereka dilantik atas perkenan sultan.
Sri Ram berkata dalam pelantikan anggota pentadbiran negeri, ketua kerajaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri.
“Exco dilantik menteri besar Selangor kerana beliau berhak menentukan siapa yang akan bekerja dengannya,” katanya.
Tafsiran Takiyuddin dalam keadaan ini menyalahi undang-undang perlembagaan, tambahnya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan pandangan sama seperti Takiyuddin.
Sri Ram berkata ketua kerajaan (Agong, sultan atau gabenor) hanya mempunyai budi bicara apabila melantik ketua eksekutif (Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri).
Sri Ram berkata Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang, pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan kabinetnya.
Perkara 43(2)(b) menyatakan Agong melantik menteri lain dari Dewan Rakyat atau Dewan Negara atas nasihat Perdana Menteri.
Perkara 40 menyatakan Agong hendaklah bertindak atas nasihat kabinet atau seorang menteri termasuk Perdana Menteri.
Sri Ram berkata undang-undang tubuh negeri dirangka sama seperti Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara ini.
Dilaporkan Sabtu lepas Azmin meminta 3 exco PAS – Datuk Iskandar Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib – meletakkan jawatan.
Menurut laporan The Star Online, menteri besar membuat permintaan itu dalam mesyuarat bersama mereka dan Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi Jumaat lepas.
Difahamkan dalam mesyuarat itu, Azmin memberi jaminan kepada exco Pas terbabit bahawa parti mereka boleh kekal dalam pentadbiran Selangor selaras mandat yang dimenangi pada pilihan raya umum 2013.
Azmin berkata wakil Pas akan kekal sebagai ahli majlis dan jawatankuasa kampung dan akan terus menikmati peruntukan pembangunan kerajaan negeri.
Majlis Syura Ulama Pas meluluskan usul Muktamar Pas untuk menamatkan “tahaluf siyasi” dengan PKR Khamis lepas.
Sumber: Amanah Daily/May 16, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts